Bekas eksekutif Fox, Darlene Lieblich Tipton berazam untuk menerbitkan filem berkisarkan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang ketika penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Peruntukan bagi perancangan projek filem “Malaysia 370” itu berdasarkan ‘crowdfunding’ atau melalui biaya ramai dan menjangkakan kosnya mungkin mencecah antara RM30.7 juta (US$7.5 juta) sehingga RM122.7 juta (US$30 juta).

Setakat ini, jumlah kutipan sudah mencecah RM5.7 juta (US$1.4 juta) berserta simpanan persaraan Tipton sendiri beranggaran RM2 juta (US$500,000) yang mulai dikutip sejak Oktober tahun lalu.

Menerusi keuntungan filem ini, beliau berhasrat untuk menyumbangkan kira-kira RM407,400 (US$100,000) kepada setiap keluarga mangsa dan anak kapal yang terlibat.

BACA: LAMAN MIKRO MH370

Tipton turut memaklumkan, pembikinan filem akan dimulakan apabila sasaran jumlah pembiayaan orang ramai berjaya dicapai.

Walaupun pengalaman beliau dalam industri filem sudah menjangkau lebih empat dekad, beliau juga pernah terpalit dengan berita negatif.

Portal antarabangsa news.com.au melaporkan Tipton dipecat 46 hari setelah insiden MH370, apabila beliau mengirimkan emel yang melanggar polisi syarikat kepada Sarah Bajc iaitu rakan penumpang pesawat terbabit berbangsa Amerika, Philip Wood.