KUALA LUMPUR : Bagi menyemarakkan sambutan Minggu Memperingati Ibu, stesen radio SINAR menganjurkan satu acara istimewa - perlumbaan Go-Kart yang menyaksikan penyertaan tiga pendengar setia, dikenali sebagai SINARIAN, bersama Trio Petang SINAR yang terdiri daripada Falyq, Hefny dan Kak Sheera di Monkey Canopy, Kajang.

Pemilihan peserta dibuat melalui penyertaan menerusi aplikasi WhatsApp dan disaring teliti oleh pihak pengurusan tertinggi SINAR berdasarkan beberapa kriteria seperti keberanian menghadapi cabaran, kepantasan, dan minat terhadap aktiviti lasak.

Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Awendy, acara ini diadakan khusus bagi menghargai golongan ibu yang sentiasa memainkan peranan penting dalam keluarga.

“Kami ingin memberi kegembiraan kepada ibu-ibu sempena sambutan istimewa ini. Mereka sentiasa bertungkus-lumus menguruskan hal rumah tangga - dari memasak hingga menghantar anak ke sekolah. Ini adalah cara kami menyatakan penghargaan kepada mereka,” katanya.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran dua selebriti tanah air, Ieda Moin dan Nadia Mustafa, yang sama-sama turun ke litar perlumbaan, memeriahkan suasana dan memberikan sokongan moral kepada para peserta.


Walaupun perlumbaan ini dimenangi oleh Kak Sheera, kenangan yang tercipta sepanjang acara itu amat bermakna bagi semua yang terlibat.

“Ini bukan sekadar perlumbaan, tetapi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Kami amat menghargai masa yang diluangkan oleh para SINARIAN yang terpilih,” tambah Zureen.

Beliau turut memaklumkan, acara seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar bagi memberi lebih ramai ibu peluang untuk diraikan dalam suasana yang menyeronokkan dan penuh makna.