PAKAR bedah, Dr. Amalina Che Bakri tidak menyangka Tuanku Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan pengikutnya di laman sosial Twitter.

Dr. Amalina dengan merendah diri mendedahkan perkara tersebut menerusi perkongsian terbarunya di laman sosial Instagram (IG) dan Twitter.

Kongsinya lagi, Tuanku Permaisuri turut bertanya tentang isu terkini di Twitter ketika mencemar duli menghadiri majlis santapan malam dengan komuniti Malaysia di London.

“Tuanku Permaisuri tanya saya tentang isu semasa di Twtiter. Saya tak sangka Tuanku Permaisuri ikut saya di Twitter.

“Terima kasih Tuanku. Raja yang berjiwa rakyat, ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap di ampun,” tulisnya.

Dinner with the King and the Queen of Malaysia yesterday. Thank you His and Her Majesty. Tuanku Permaisuri asked me questions about current Twitter issues hehe


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di London dua hari lalu untuk melakukan lawatan khas di United Kingdom (UK) bermula 9 Disember hingga 16 Disember ini.

Kementerian Luar memaklumkan, lawatan itu melambangkan kepentingan memelihara hubungan dua hala yang dijalin sejak sekian lama antara Malaysia dan UK, terutama antara kerabat diraja kedua-dua negara.

Al-Sultan Abdullah juga akan diberi penghormatan untuk menerima tabik hormat pada perbarisan bersempena istiadat pentauliahan diraja anakanda baginda Pemangku Raja Pahang​​, Tengku​​​​ Hassanal Ibrahim Alam Shah di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada 13 Disember.

Al-Sultan Abdullah pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

Lawatan khas ke UK adalah yang keempat oleh Al-Sultan Abdullah selepas lawatan khas baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lepas sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong akan melakukan lawatan ke Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Biro Dunia dan bangunan Associated Country Women of the World.