Kumpulan Wings bakal menghiburkan peminat selama empat malam untuk kemunculan kedua mereka di Istana Budaya.

Menurut vokalis kumpulan itu, Awie, persembahan kali ini akan membawa kelainan daripada persembahan yang pertama dengan format yang berbeza.

Antara kelainan, Wings akan membuat persembahan persendirian tanpa kehadiran rakan-rakan penyanyi lain yang sebelum ini dinamakan “Superfriends”.

Wings juga dikatakan bakal menghadiahkan sebuah lagu baru yang dirakamkan untuk album "Menakluk Kosmos".

Konsert kali ini bakal diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan dan sebanyak 20 buah lagu secara keseluruhan.

“Demi persembahan terbaik, saya sudah pun mulakan senaman, treatment dan membuat pemeriksaan kesihatan kerana risau ianya bakal menjejaskan persembahan,” kata Awie.

Atas sambutan hangat konsert pada April 2011, Wings yakin kemunculannya bagi musim kedua ini bakal mendapat sambutan.

Harga tiket dijual pada harga RM69 hingga RM499.

“Bagi saya, tiket untuk konsert Wings tidak mahal mana, disamping beberapa pakej yang disalurkan bagi mereka yang datang berempat dengan harga RM499 selain mendapat tempat duduk yang ekslusif,” tambah Awie.

Konsert “Wings Rockestra” bakal berlangsung pada 26, 27, 28 dan 30 April di Panggung Sari, Istana Budaya.