KUALA LUMPUR:Pengendali rangkaian Lebuhraya Pantai Timur (LPT) E8, ANIH Berhad dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) menyediakan 1,160 petugas bagi membantu pengguna berikutan peningkatan trafik pada musim cuti akhir tahun dan tengkujuh.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, mereka akan ditempatkan di tiga lebuh raya iaitu Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, bantuan yang disediakan itu membabitkan anggota ronda, pasukan penyelenggaraan serta pusat kawalan trafik sewaktu pengguna lebuh raya berkenaan dalam perjalanan ke negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Bagi KLK dan LPT1, ia dikendalikan oleh ANIH Berhad, manakala LPT2 dikendalikan oleh LPT 2 Sdn Bhd.

“Ketiga-tiga komponen lebuh raya tersebut menghubungkan Lembah Klang melalui Gombak ke Pantai Timur seperti Gambang dan Kuantan di Pahang dan Kuala Terengganu di Terengganu.

“Berikutan musim tengkujuh yang melanda dan menyebabkan banjir di beberapa tempat terutamanya di jalan persisir negeri dan Persekutuan, maka lebuh raya E8 adalah pilihan yang terbaik untuk pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Nik Fauzi berkata, pihaknya turut memberi jaminan pengguna akan menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa dengan menggunakan lebuh raya berkenaan.

“Selain itu, turut disediakan kemudahan seperti Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24 jam di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH sepanjang 234 kilometer,” katanya.

Sementara itu, Pengarah LPT 2 Sdn Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi pula berkata, lebuh raya LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan lima R&R serta empat hentian sebelah.

Beliau berkata, ia memudahkan pelanggan berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka dan jika berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24 jam sehari.

“Musim tengkujuh yang melanda negara di beberapa negeri di Pantai Timur juga kerap menyebabkan laluan persisir negeri atau Persekutuan mengalami banjir.

“Kami menyarankan pelanggan yang terjejas sewaktu musim tengkujuh supaya menggunakan LPT2 sekiranya laluan persisir negeri atau Persekutuan ditutup atau tenggelam yang berpunca akibat banjir untuk meneruskan perjalanan mereka ke Terengganu, Kuantan ataupun Lembah Klang,” katanya.

Pelanggan boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 bagi KLK dan LPT1, manakala LPT2 Line di 1-800-88-0220 jika ingin mendapatkan bantuan kecemasan di rangkaian lebuh raya E8.