MIRI: 1.3 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah dipersijilkan dengan Skim Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 661,844.12 hektar merupakan milik pekebun kecil persendirian, iaitu mewakili 81.10 peratus daripada keseluruhan kategori itu.

“Bagi kategori pekebun kecil tersusun di bawah Rancangan FELDA, FELCRA, RISDA, Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (SALCRA) dan Sarawak Land Development Board (SLDB) pula, jumlahnya adalah seluas 665,535.51 hektar atau 99.65 daripada keseluruhan tanah peserta.

MSPO kata Menteri Perladangan dan Komoditi itu lagi, telah diperkenalkan sejak 2013, dengan tiga prinsip utama iaitu keseimbangan di antara keperluan manusia, kelestarian alam sekitar dan juga penjanaan keuntungan.

Ia telah diwajibkan ke atas semua pemain industri sejak tahun 2020 bagi memastikan kelestarian industri minyak sawit negara serta mengekang pandangan serta persepsi negatif segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pelaksanaan MSPO amat penting kerana pada 2022, Malaysia telah diiktiraf sebagai pengeksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit kedua terbesar di dunia dengan jumlah eksport sebanyak 26.52 juta tan,” katanya ketika merasmikan Penutupan Sesi Konsultasi FGV bersama 1,000 Pekebun Kecil dan Pembekal di Kawasan Miri pada Sabtu.

Untuk rekod,  industri minyak sawit telah menyediakan lebih sejuta peluang pekerjaan untuk penduduk di Malaysia.