Isu siren ambulans: Polis akan panggil individu tular video

Video yang tular berkaitan anggota trafik didakwa menghalang ambulans dan memberikan laluan kepada konvoi delegasi pelabur dari China. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Polis Melaka akan memanggil individu yang menularkan video berkaitan anggota trafik didakwa menghalang ambulans dan memberikan laluan kepada konvoi delegasi pelabur dari China pada Khamis lepas, dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- Polis Melaka akan panggil individu yang viral video anggota trafik didakwa menghalang ambulans, memberi laluan kepada konvoi China.
- Ketua Polis Melaka nyata akan buka siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan isu tersebut.
- Dzulkhairi menegaskan anggota trafik tidak menghalang ambulans seperti dalam video tular, siren polis hanya kawal konvoi pelabur China.
"Kita tidak akan beri muka dan saya akan siasat perkara ini. Kita akan pastikan orang yang sengaja buat fitnah terhadap polis akan diambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Legacy 04 RX-Z X 125ZR Melaka Attack yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini malam tadi.
Terdahulu, Dzulkhairi dalam kenyataan menegaskan bahawa anggota trafik tidak menghalang pergerakan sebuah ambulans seperti yang didakwa dalam video tular, manakala bunyi siren yang kedengaran dalam rakaman itu ialah milik polis yang sedang menjalankan kawalan lalu lintas semasa mengiringi konvoi delegasi pelabur dari China.
Mengulas tentang tiga suspek lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Alor Gajah baru-baru ini, Dzulkhairi berkata siasatan pihaknya mendapati wanita yang mendakwa seorang daripada suspek yang ditembak mati itu merupakan suaminya adalah tidak benar.
Beliau berkata wanita terbabit dan suspek itu hanyalah pasangan kekasih dan telah tinggal bersama-sama selama tiga tahun, manakala isteri sebenar suspek pula berada di Johor.
"Wanita berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah sejak 2012 berkaitan kes curi kenderaan dan pernah ditahan di Jasin pada Julai lepas.
"Bapa wanita itu juga mempunyai 24 kes jenayah lampau dan kita masih mengesan lelaki ini kerana mempunyai dua laporan polis berkaitan kes curi kenderaan dan curi di dalam bangunan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


