KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menugaskan 1,500 pembantu khidmat pelanggan (CSA) di plaza dan lorong tol di lebuh raya berkenaan untuk membantu pelanggan yang menghadapi masalah transaksi tol sepanjang cuti perayaan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata ini selaras tumpuan PLUS untuk memberi keselesaan kepada pengguna dengan meminimumkan kesesakan di semua 1,100 lorong tol di 94 plaza tol sepanjang lebuh raya itu terutama dalam tempoh 29 April hingga 9 Mei.

Beliau berkata selain itu, PLUS akan menempatkan kakitangan tambahan dari ibu pejabat untuk memberikan sokongan di setiap plaza tol utama di seluruh negara.

"Saya juga ingin mengingatkan pelanggan lebuh raya kami untuk menjangkakan masa perjalanan yang lebih panjang ke destinasi mereka kerana kami meramalkan kemungkinan berlaku kesesakan akibat jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya.

"Namun anda boleh merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi PLUS, juga ikuti jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang akan dikeluarkan tidak lama lagi serta menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps untuk jangkaan pelan laluan perjalanan," katanya.

-- BERNAMA