KUALA LUMPUR: Seramai 1,776 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dilaporkan dijangkiti COVID-19 sejak virus itu melanda negara pada Januari 2020.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia hasil ujian saringan ke atas 7,200 pegawai dan anggota yang disyaki (PUI) dijangkiti atau kontak kepada kes (PUS).

Daripada jumlah kes positif, beliau berkata dua pegawai meninggal dunia akibat COVID-19.

“Sebanyak 95 peratus mereka yang positif disebabkan jangkitan daripada komuniti, sementara lima peratus adalah dari tempat mereka berkhidmat.

“Kes ini sama ada mereka berkontak rapat daripada rakan, ataupun daripada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2022, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, dua pegawai yang meninggal dunia dikesan jangkitan daripada komuniti dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik.

Berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 pula, beliau berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari tahun lalu telah memberi harapan dan perlindungan kepada daya tahan jangkitan dalam anggota bomba menjalankan tugas.

“Sehingga 31 Disember 2021, sejumlah 99 peratus warga jabatan ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Digalakkan juga warga untuk mendapatkan dos penggalak agar kita boleh dilindungi daripada varian baharu yang difahamkan tular dengan pantas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata warga JBPM yang masih belum menerima suntikan vaksin telah dikenalpasti sebagai mereka yang tidak layak untuk menerima dos suntikan.

Situasi itu jelasnya kerana faktor masalah kesihatan, dan kesemua individu tersebut akan terus dipantau dengan rapi.

“Saya mengambil peluang untuk menasihatkan semua warga JBPM untuk mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dibendung dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ia sejajar dengan arahan pihak kerajaan semasa menjalankan operasi,” ujar beliau.

Mengenai operasi banjir pula, Mohammad Hamdan berkata, penilaian risiko perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan penduduk sentiasa diberi keutamaan dan dipantau.

Jelas beliau, perancangan dan persediaan yang rapi akan mengurangkan ‘professional error’, seterusnya mengurangkan kemudaratan, kerosakan serta kematian.

“Sekiranya kita mengimbas kembali kejadian bencana seperti ini dalam tahun 2021, ianya juga memberi gambaran bahawa kecemasan yang menjejaskan keselamatan penduduk bukannya berlaku ketika perubahan cuaca seperti musim Monsun Timur Laut sahaja, malah ianya boleh melanda bila-bila masa.

“Keadaan ini boleh berlaku khususnya di kawasan yang berisiko tinggi seperti di struktur penempatan penduduk berhampiran tanah cerun atau tebingan sungai,” ujarnya.

Sehingga 31 Disember 2021, seramai 1,741 pegawai dan sebanyak 406 buah aset darat dan marin JBPM seluruh negara telah dikerah secara langsung di lapangan bagi operasi mencari, menyelamat, memindah, dan membantu mangsa banjir.

Ia melibatkan 250 lokasi di lapan buah negeri.