KUALA LUMPUR:Kompleks beli-belah 1 Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya dibenarkan beroperasi semula esok (17 Oktober).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan tersebut setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang telah diambil oleh pihak pengurusan Kompleks serta atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju membenarkan kompleks 1 Utama kembali beroperasi semula bermula 17 Oktober 2020,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata, kompleks beli-belah tersebut diarahkan tutup pada 11 Oktober bagi tujuan saringan COVID-19 kepada semua pekerja dan melakukan aktiviti pembasmian kuman.


“Sehingga 15 Oktober 2020 seramai 6,000 termasuk pekerja, penyewa dan petugas serta 110 pengunjung di kompleks 1 Utama telah disaring KKM.

“Mereka yang didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan, kontak tidak bergejala pula telah dikuarantin selama 14 hari manakala yang bergejala telah diarahkan untuk pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran,” katanya.


Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 481 individu pada Khamis atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

“Daripada jumlah itu, seramai 470 individu dikompaun, 10 individu lagi direman dan satu dijamin,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan tidak memakai pelitup muka masih mencatatkan angka tertinggi iaitu 208 diikuti gagal menjaga penjarakan fizikal (145), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (82) dan membawa penumpang berlebihan dalam satu kenderaan (27).

Ia juga termasuk langgar syarat/perintah PKPB (10), premis beroperasi lebih masa (enam), tangkapan pendatang asing tanpa izin (dua) dan aktiviti di pusat hiburan tanpa lessen (satu).

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata, seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong ditahan.

Katanya lagi, enam kenderaan darat juga telah dirampas pihak berkuasa.