KUALA LUMPUR:Kompleks beli-belah 1 Utama nafi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling bahawa terdapat 63 kes positif COVID-19 dari premis itu.

Menurut pihak pengurusannya, kenyataan itu mengelirukan dengan memberi kesimpulan bahawa semua kes dinyatakan dalam laporan adalah datang dari 1 Utama kerana tiada kes indeks dikenal pasti dari kompleks beli belah itu.

Jelasnya, hasil ujian swab yang dilakukan ke atas 6,000 kakitangan kompleks beli-belah dan penyewa pada 11 hingga 12 Oktober lalu mendapati hanya 21 kes positif COVID-19 dilaporkan.

"Daripada 6,000, semalam kami menyimpulkan bahawa keputusan ujian dan berjaya mengenal pasti 20 kakitangan penyewa dan seorang kakitangan pengurusan kompleks beli-belah positif COVID-19.

"Dua puluh satu orang sedang menjalani kuarantin wajib bagi mengelak penularan jangkitan dan meminimumkan potensi jangkitan," kata kenyataan itu pada Khamis.

BACA: COVID-19: 63 kes positif di One Utama, 44 daripadanya pekerja keselamatan

One Utama juga menyatakan bahawa 44 kes COVID-19 yang dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling adalah bukan dari kompleks beli-belah itu.

Malah, mereka adalah bukan sebahagian daripada 6,000 mereka yang menjalani ujian swab dilakukan.

"Mereka sebenarnya adalah pengawal keselamatan kontrak dari luar pihak penyedia perkhidmatan di mana jangkitan COVID-19 itu adalah melalui asrama dan bukan di dalam premis kami," tambahnya.

Kata kenyataan lagi, apabila dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai seorang pengawal keselamatan positif COVID-19, pihak 1 Utama telah mengarahkan kesemua pengawal keselamatan untuk mengulangi ujian COVID-19 dan hanya akan membenarkan mereka bekerja semula apabila mereka bebas virus itu.


 
Sumber Facebook 1Utama