MELAKA: Seramai 10,000 penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dianugerahkan pingat berkenaan setiap tahun berbanding 2,500 penerima setahun sebelum ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata peningkatan jumlah penerima pingat berkenaan ekoran pelaksanaan perluasan kuasa pengurnia dalam kalangan panglima perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang diumumkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

Beliau berkata secara keseluruhan 122,000 penerima PJM di seluruh negara akan menerima pingat berkenaan dan sehingga kini kira-kira 82,000 veteran ATM masih belum menerimanya.

"Sebelum ini, pengurnia PJM adalah terhad menyebabkan penerimanya juga terhad, jadi kita perluaskan sedikit tanggungjawab itu (kepada panglima perkhidmatan ATM).

"Tahun ini dan tahun akan datang kita sasarkan 10,000 veteran ATM akan menerima pingat tersebut berbanding sekitar 2,500 orang setahun sebelum ini agar pengurniaan pingat berkenaan dapat diselesaikan segera," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan PJM kepada 416 penerima pada majlis penganugerahan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Zambery Jefry Darus.

Adly berkata kaedah baharu perluasan kuasa pengurnia itu, selari dengan hasrat kerajaan agar pengurniaan dapat dilakukan secara berterusan dan lebih kerap supaya tiada veteran ATMyang tertinggal menerima anugerah itu.

"Saya juga menyeru semua veteran dan waris yang layak tetapi masih belum menerima PJM untuk memohon dengan kadar segera mengikut proses sedia ada. Tahniah serta terima kasih saya ucapkan kepada penerima PJM atas jasa dan bakti yang telah mereka curahkan kepada negara," katanya.

Katanya penganugerahan PJM merupakan antara inisiatif di bawah strategi Pengiktirafan Jasa Pejuang, selari dengan Pelan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia 2021-2025 iaitu Teras 7: Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM.

Menurutnya PJM adalah manifestasi penghargaan kerajaan terhadap jasa dan bakti yangdicurahkan veteran ketika darurat merangkumi dua fasa iaitu bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) mulai 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 atau operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) (mulai 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990).

-- BERNAMA