PUTRAJAYA:Polis mengambil tindakan terhadap 10 individu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar pada Khamis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka antara 89 individu yang ditahan polis pada hari sama kerana kesalahan ingkar arahan PKP.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 77 individu dikompaun manakala 12 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (30), penjarakan fizikal (29), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (14), langgar perintah PKPDB (10), aktiviti dalam pub/kelab malam (5), dan premis beroperasi tanpa lesen (1).

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 53,691 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismai Sabri berkata, Operasi Benteng pula melakukan tangkapan yang melibatkan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong.

“Turut berjaya dirampas satu bot dan sembilan kenderaan darat dalam 84 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilakukan dalam operasi itu,” ujar beliau.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga 1 Oktober 2020, seramai 38,843 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 Hotel dan 10 premis lain.

“Daripada jumlah itu, seramai 8,648 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 30,089 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.