KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di 10 kawasan di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD di kawasan berkenaan berkuat-kuasa bermula esok (Ahad) sehingga 6 Mac ini.

Kawasan terbabit ialah Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4, Taman Kelisa dan Desa Bangau.

Jelas Ismail Sabri, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif secara mendadak dengan 72 kes dilaporkan sehingga kini membabitkan penduduk di taman perumahan itu.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di taman perumahan berkenaan bermula 21 Februari hingga 6 Mac ini.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk mengawal jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memaklumkan PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, diisytiharkan tamat esok, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 25 Februari.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak tiga kes positif telah direkodkan.

"Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini terkawal dan kesemua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenalpasti, disampel serta diasingkan," katanya.