KUCHING :Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan pertambahan 10 kes baharu COVID-19 pada Jumaat.

Menurut pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, peningkatan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan setakat ikini meningkat  kepada 742 kes.

“Kes COVID-19 baharu yang dikesan pada hari ini, lapan daripadanya melibatkan individu yang tiba dari kawasan berisiko tinggi di bawah klasifikasi Import (B).

“Satu kes Influenza Like Illnesses (ILI), manakala satu kes saringan kontak rapat daripada kes yang telah dikesan di Sarawak.

“Empat kes pada hari ini dicatat di Kuching, tiga di Lubok Antu dan satu masing-masing di Daro, Bau dan Bintulu,” katanya pada sidang media JPBNS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini pada Jumaat.

Berikut perincian kes-kes baharu pada hari ini:

1) Daerah Kuching (Empat kes baharu)

Tiga kes tiba dari Sabah.

Tiga kes melibatkan saringan buat individu yang pulang dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu Sabah.

Ketiga-tiga kes ini merupakan anggota keselamatan yang baru balik setelah diarahkan untuk bertugas di Sabah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Kes bersama anggota pasukan yang lain telah bertolak pada pagi 25 September 2020 dan pulang ke Sarawak menggunakan penerbangan khas melalui Lapangan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Kuching pada 28 September 2020.

Setibanya di Kuching, mereka telah diletakkan dibawah arahan kuarantin 14 hari di PULAPOL. Kesemua kes ini juga telah menjalani ujian saringan pertama pada 29 September 2020 dan ujian adalah negatif.

Bagaimanapun, saringan ulangan hari ke-10 telah dilakukan pada 7 Oktober 2020 dan ujian rT-PCR ketiga-tiga kes ini telah positif COVID-19 pada 8 Oktober 2020.

Satu kes hasil saringan kontak kepada kes positif COVID-19.
Kes ini juga merupakan seorang pegawai keselamatan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Kes telah menjalani saringan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Kuching pada 7 Oktober 2020 kerana mempunyai kontak kepada kes Ke-718 semasa bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 2 Oktober 2020.

Ujian saringan kes ini didapati positif pada 8 Oktober 2020 dan kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

2) Daerah Lubok Antu (Tiga kes baharu)

Dua kes hasil saringan dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu Sabah.
Kedua-dua kes ini merupakan ibu dan anak warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan melawat Sabah dan pulang pada 27 September 2020 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kota Kinabalu.

Ujian ulangan COVID-19 pada hari ke-10 telah dijalankan di klinik kesihatan di Lubok Antu dan keputusan ujian rT-PCR mereka didapati positif pada 8 Oktober 2020.

Satu kes hasil saringan Influenza Like Illness (ILI).
Kes ini merupakan seorang anggota keselamatan yang bertugas di Lubok Antu. Kes telah mula mengalami sakit tekak pada 5 Oktober 2020 dan telah membuat pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19 di klinik kesihatan di Lubok Antu.

Ujian rTPCR COVID-19 kes telah didapati positif pada 8 Oktober 2020.

3) Daerah Daro (Satu kes baharu)

Satu kes hasil saringan dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu Sabah
Kes ini merupakan seorang warganegara tempatan yang bekerja di pelantar minyak di perairan Sabah. Kes telah balik ke Sarawak dari Kota Kinabalu melalui Labuan, Miri dan Sibu sebelum meneruskan perjalanan balik melalui jalan darat ke Daro pada 3 Oktober 2020.

Semasa melakukan persinggahan di Lapangan Terbang Labuan, kes telah menjalani saringan COVID-19 dan diberi arahan kuarantin di rumah oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sampel yang diambil telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh, Selangor dan ujian dapati keputusan ujian rT-PCR kes adalah positif COVID-19 pada 8 Oktober 2020.

4) Daerah Bau (Satu kes baharu)

Satu kes hasil saringan dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu Sabah
Kes ini merupakan seorang warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan melawat Sabah dan pulang pada 27 September 2020 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kota Kinabalu.

Ujian ulangan COVID-19 pada hari ke-10 telah dijalankan di Hospital Bau dan keputusan ujian rT-PCR kes didapati positif pada 8 Oktober 2020.

5) Daerah Bintulu (Satu kes baharu)

Satu kes hasil saringan dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 iaitu Semenanjung Malaysia.

Kes ini merupakan seorang penasihat penjualan warganegara yang telah dikesan dijangkiti COVID-19 pada 8 Oktober 2020 melalui saringan kes bergejala. Kes ini mula menunjukkan tanda dan gejala pada 1 Oktober 2020 dan telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan saringan RTK Antibody COVID-19 di sebuah hospital swasta di Bintulu.

Ujian saringan pada 1 dan 5 Oktober 2020 adalah tidak reaktif untuk COVID-19. Kes telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan saringan lanjut di Hospital Bintulu pada 7 Oktober 2020.

Kes telah diambil swab untuk ujian rT-PCR kerana mempunyai gejala dan mempunyai sejarah perjalanan ke Kedah dan Kuala Lumpur pada 24 hingga 27 September. Keputusan ujian saringan COVID-19 kes ini didapati positif pada 8 Oktober 2020.