KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10 lokasi di empat daerah negeri ini dikenal pasti berisiko mengalami kebakaran hutan ketika kemarau dan cuaca panas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Terengganu Hassan 'As'ari Omar berkata lokasi tersebut termasuk di  Kampung Jambu Bongkok, Kampung Kelulut dan Rantau Abang di Dungun.

Beliau berkata kawasan lain iaitu Kampung Telaga Papan, Lembah Bidong, Kampung Saujana dan Kampung Merang di Setiu, Kampung Tok Jembal, Kampung Gong Badak serta Kampung Batu Rakit di Kuala Nerus.

"Tahun ini dijangka berlaku kemarau atau cuaca panas berpanjangan antara sembilan hingga ke 12 bulan bermula April depan.

"Keadaan ini akan meningkatkan risiko kebakaran hutan, lalang dan kebun di kawasan hotspot atau titik panas kebakaran," katanya pada sidang media selepas program Perhimpunan Tahunan JPBM Terengganu, di Ibu Pejabat Bomba Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa agensi, pengamal media dan orang awam yang telah membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.

Mengulas lanjut Hassan 'As'ari berkata sebanyak 225 kes kebakaran lalang, belukar dan hutan direkodkan sepanjang tahun lepas.

Justeru beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk program pencegahan kebakaran di kawasan-kawasan berisiko.

"Selain itu kita juga berkolaborasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu untuk lihat sama ada telaga tiub yang dipasang di lokasi tertentu masih boleh digunakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Hassan 'As'ari berkata jumlah panggilan kebakaran pula meningkat kepada sebanyak 1,738 kes pada 2023 berbanding 1,024 tahun sebelumnya.

-- BERNAMA