Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu kegiatan lumba haram pada 13 Januari lalu.

Operasi yang bermula pukul 9 malam dan berakhir sekitar pukul 2.30 pagi itu diadakan di Kilometer 25.6 di arah selatan ke Kilometer 24.6 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, DCP Datuk Azisman Alias, operasi yang diadakan atas maklumat orang awam dan hasil intipan pihak polis membawa kepada penahanan 10 suspek berumur lingkungan 17 hingga 36 tahun.

Polis juga, kata Azisman turut menemukan wang bernilai RM38,000 dari salah sebuah kereta yang disita yang sebahagiannya dipercayai dijadikan sebagai wang taruhan lumba haram itu.

Wang tunai RM38,000 yang dirampas dalam Operasi Khas yang dijalankan di Lebuh Raya LEKAS pada 13 Januari lalu. - Gambar Astro AWANI

Selain itu, beliau berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua buah kereta serta dua buah motosikal turut disita.

Masalah sosial termasuk aktviti merempit yang semakin menular dalam kalangan remaja, katanya, sentiasa mendapat perhatian pihak polis.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Unit Risikan Operasi JSPT (RO) Bukit Aman bagi membendung gejala negatif itu.

"Ini (penubuhan RO) merupakan strategi dan perancang JSPT bagi menangani masalah samseng jalanan termasuklah merempit ataupun lumba haram ataupun konvoi-konvoi saban minggu yang menganggu ketenteraman orang ramai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.

RO JSPT juga, jelas beliau, merupakan inisiatif Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang komited untuk menangani masalah samseng jalanan.

Sementara itu, kesemua suspek yang ditahan, kata Azisman, akan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.