PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket yang mengeksploitasi pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan, yang didalangi warga asing dan rakyat tempatan, dalam operasi khas di beberapa lokasi di Temerloh, Pahang pada 16 Mei lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi berkenaan juga berjaya menyelamatkan 10 wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata 10 wanita berkenaan yang berusia antara 23 hingga 50 tahun dan memiliki pas lawatan sosial (PLS) telah tamat tempoh, diselamatkan ketika pasukan operasi menyerbu dua premis di Temerloh pada kira-kira 7 malam.

Turut ditahan ketika operasi itu ialah seorang wanita warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 30-an serta memiliki PLS yang telah tamat tempoh, dipercayai sebagai penjaga kepada semua mangsa terbabit.

Susulan itu pada kira-kira 8.30 malam, pasukan operasi menyerbu sebuah premis agensi pekerjaan serta menahan pemilik syarikat berkenaan berusia 40 tahun yang membawa masuk kesemua warga asing dan menguruskan sindiket itu, katanya.

"Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang telah ditentukan oleh sindiket," katanya dan menambah bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan daripada sindiket itu ialah RM150 hingga RM250 sehari.

Menurutnya, pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan itu akan menghubungi agensi pekerjaan, dengan tarikh dan waktu bekerja akan diatur termasuk menghantar serta mengambil mereka setelah selesai bekerja.

Ruslin berkata sindiket berkenaan telah beroperasi sejak lebih dua tahun dan dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM900,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

Menurut Ruslin, melalui pengakuan lisan daripada kesemua mangsa, mereka tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket itu dan kebebasan mereka turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga di negara asal.

Beliau berkata kesemua warga asing telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Wanita tempatan pemilik agensi pekerjaan yang ditahan itu pula telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai soal siasat, katanya.

-- BERNAMA