KUALA LUMPUR: Rasa terbeban untuk membeli barangan keperluan asas merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam kajian terkini daripada firma penyelidikan O2 Malaysia, seramai 80 peratus daripada 35,077 responden menyenaraikan perkara itu sebagai kebimbangan utama mereka.

Selain itu, 61 peratus responden meluahkan kebimbangan terhadap simpanan kewangan mereka manakala 56 peratus responden rasa terbeban untuk membayar hutang, pinjaman.

Seramai 53 peratus responden pula bimbang dengan kadar upah yang rendah selain pembiayaan pendidikan isu rumah turut menjadi kebimbangan 52 peratus responden.

Selain lima kebimbangan tersebut, responden juga khuatir dengan ancaman kesihatan dan rawatan penyakit (42 peratus), kesukaran mendapatkan pekerjaan (41 peratus) dan risau menjadi mangsa jenayah, keganasan, penipuan siber (40 peratus).

Semua dapatan itu diperoleh daripada Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena PRU15, membawa mesej jelas iaitu mengumpul hasrat dan suara rakyat.

Kali ini, kaji selidik tersebut merupakan kerjasama antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana iaitu Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.

Seramai 35,077 respon yang terdiri daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara mengambil bahagian dalam kaji selidik itu.

Kutipan data untuk kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula dari 6 Februari hingga 16 Februari.
Kabinet Perpaduan Nasional 2023