KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menghantar pulang kira-kira 10,000 rakyat Myanmar ke negara asal mereka sejak Januari lalu, hasil rundingan dengan kerajaan negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha berkenaan dilaksanakan susulan beberapa siri rundingan, termasuk menerusi Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri serta beliau sendiri.
Beliau berkata sebahagian daripada rakyat Myanmar itu dibawa pulang atas inisiatif kerajaan negara berkenaan menggunakan pesawat, manakala kumpulan terakhir setakat ini seramai 1,400 orang dibawa pulang menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.
“Kita terbeban dengan lebih 200,000 (rakyat Myanmar). Rundingan kita dengan Myanmar berhasil setakat ini, rekod terakhir sudah 10,000 yang dihantar balik.
“Sebahagiannya inisiatif kerajaan Myanmar sendiri dengan guna pesawat, yang terakhir baru-baru ini 1,400 dengan kapal Tentera Laut Myanmar,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata Malaysia turut mengambil kira pendekatan ASEAN dalam usaha menangani isu berkenaan, dengan beberapa negara anggota termasuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam telah mengundang Presiden Myanmar ke negara masing-masing.
Beliau berkata isu berkenaan akan dibangkitkan dalam pertemuan yang dirancang dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, bagi mencari penyelesaian terhadap isu rakyat negara itu.
Katanya, Malaysia memahami kegelisahan masyarakat antarabangsa berhubung isu berkenaan, termasuk berkaitan hak asasi manusia serta teguran yang disuarakan di dalam dan luar Parlimen.
“Penyelesaian pertama kita sudah capai, dan Malaysia negara pertama yang berjaya hantar pulang rakyat Myanmar ke negara mereka,” katanya.