CYBERJAYA: Seramai 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun bakal menerima akses langganan percuma kepada perisian kecerdasan buatan (AI) selama tiga bulan menerusi program AI Untuk Rakyat yang akan dibuka mulai 31 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu bagaimanapun diberikan kepada peserta yang melengkapkan modul latihan khas berkaitan AI dalam tempoh ditetapkan.
Menurut beliau, syarat tersebut penting bagi memastikan golongan muda bukan sahaja menggunakan teknologi AI, malah memahami aspek keselamatan, etika dan penggunaan teknologi berkenaan secara bertanggungjawab.
“Sebab itu penggunaan AI untuk rakyat mesti dijadikan satu keutamaan. Kita menawarkan akses dan langganan perisian AI secara percuma kepada belia yang melengkapkan modul khusus di bawah program yang ditetapkan.
“Untuk golongan berusia 18 hingga 30 tahun, kita sediakan modul khusus dan mereka perlu melengkapkannya sebelum menerima kemudahan perisian AI secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dan menyempurnakan Majlis Peluncuran AI Malaysia di Menara Cyber Axis, Cyberjaya pada Selasa.
Anwar berkata, modul berkenaan merangkumi aspek penting seperti keselamatan AI, AI generatif, keselamatan siber serta penggunaan kemudahan awan (cloud) bagi memastikan peserta mempunyai asas pengetahuan yang kukuh.
Katanya, kerajaan menganggarkan sehingga 100,000 belia akan mendapat manfaat daripada program tersebut pada peringkat awal pelaksanaannya.
“Belia yang melengkapkan modul AI berkaitan akan menerima langganan percuma selama tiga bulan dengan aplikasi AI yang ditawarkan.
“Tetapi syaratnya mereka perlu mengikuti kursus dan latihan yang disediakan supaya teknologi ini digunakan dengan cara yang betul serta memberi manfaat kepada masa depan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan agenda pendigitalan negara tidak boleh mewujudkan jurang baharu dalam masyarakat, sebaliknya perlu memastikan akses kepada teknologi AI dapat dinikmati secara lebih meluas.
Beliau berkata, program AI unntuk Rakyat merupakan antara langkah awal ke arah melahirkan ekosistem Malaysia AI yang inklusif dan mampu memperkasakan generasi muda menghadapi cabaran ekonomi digital masa depan.
“Ini satu permulaan yang sangat penting untuk masa depan negara. Kita mahu melahirkan generasi yang celik AI dan bersedia menghadapi perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas,” katanya.