KUALA TERENGGANU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 102 penderma organ selepas kematian dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Datuk Dr Azman Yacob berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan daripada 89 penderma organ selepas kematian dicatatkan pada 2025, iaitu bersamaan kira-kira 1.3 penderma bagi setiap satu juta penduduk.
Beliau berkata kedua-dua angka itu menunjukkan kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ telah wujud namun tahapnya masih belum memuaskan apabila sehingga Julai tahun ini sebanyak 12,575 pesakit masih berada dalam senarai menunggu untuk menerima organ baharu.
“Berbanding dengan negara lain kalau kita lihat statistik di peringkat antarbangsa, negara seperti UAE (Emiriah Arab Bersatu), Sepanyol dan sebagainya mencatat jumlah penerimaan organ lebih tinggi pada 20 hingga 30 peratus bagi setiap sejuta penduduk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata MKPO tahun ini bertemakan ‘Warisku, Hormati Ikrarku’ membawa mesej iaitu hasrat seseorang untuk menderma organ selepas kematian merupakan satu ikrar kemanusiaan yang wajar dihormati dan dizahirkan melalui sokongan serta kefahaman keluarga.
Dr Azman berkata tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan keluarga mengenai hasrat pengikrar derma organ merupakan antara penyebab jumlah pendermaan organ selepas kematian adalah kecil, seterusnya menyebabkan peluang untuk menyelamatkan lebih ramai pesakit tidak dapat direalisasikan.
Katanya meskipun kini terdapat kira-kira 450,000 individu yang berdaftar sebagai pengikrar derma organ namun jumlah penderma sebenar masih rendah kerana keputusan untuk meneruskan pendermaan organ selepas kematian bergantung kepada persetujuan ahli keluarga.
“Apabila pengikrar ini jatuh sakit sebab kemalangan, kematian otak dan sebagainya, mereka sudah tidak boleh membuat keputusan. Jadi kesedaran dalam kalangan ahli keluarga amat penting untuk menghormati hasrat pengikrar ini,” katanya.
Dalam pada itu Dr Azman berkata Terengganu dipilih sebagai tuan rumah bagi MKPO 2026 memandangkan negeri di Pantai Timur menunjukkan perkembangan memberangsangkan bagi pendermaan organ dan tisu justeru mencerminkan tahap kesedaran penduduknya semakin meningkat.
Katanya tahun ini Terengganu merekodkan sebanyak tujuh prosedur pendermaan organ atau tisu, sementara Pahang dan Kelantan masing-masing merekodkan satu selepas kedua-dua negeri itu tidak mencatat prosedur pendermaan organ sekian lama.
Dalam pada itu beliau berkata KKM akan terus memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan jumlah penderma sebenar organ melalui pelbagai kaedah termasuk telah menubuhkan Majlis Transplan Kebangsaan (MTK) yang beperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh penyelarasan agenda pendermaan organ dan transplantasi negara.
Selain itu katanya KKM juga akan terus memperkukuh libat urus dengan institusi semua agama bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pendermaan organ.
“Penjelasan yang berterusan mengenai aspek hukum dan keagamaan amat penting kerana kekeliruan mengenainya boleh menjadi antara faktor yang menghalang masyarakat daripada tampil sebagai penderma organ,” katanya.
-- BERNAMA