PUTRAJAYA: Seramai 105,000 pekerja sektor peruncitan dijangka dapat divaksin sebelum 31 Ogos ini dengan pembukaan empat lagi pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di bawah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat PPVIN RiVAC tambahan itu terletak di IOI City Tower, Putrajaya yang akan beroperasi pada 26 Julai hingga 13 Sept, Petaling Jaya Performing Art Center di Bandar Utama, Selangor (27 Julai hingga 20 Sept), Centro Mall di Klang, Selangor (26 Julai hingga 16 Sept) dan AEON Mall di Nilai, Negeri Sembilan yang tarikh operasinya akan diberitahu kelak.

Kenyataan itu menyebut PPVIN RiVAC pertama iaitu di Mid Valley Exhibition Center, Kuala Lumpur boleh menampung 31,500 orang untuk divaksinasi sepanjang ia beroperasi iaitu dari 26 Julai hingga 6 Sept.

Keempat-empat PPVIN tambahan masing-masing mempunyai kapasiti maksimum 21,000 orang sepanjang tempoh operasi.

"Melalui RiVAC, semua pekerja yang menyantuni pengguna dan menyediakan persiapan logistik dalam premis perniagaan sekurang-kurangnya telah membina imuniti diperlukan yang sekali gus mengurangkan risiko penularan termasuk pengguna dan ahli keluarga mereka," menurut kenyataan itu.



KPDNHEP- RIVAC 2 (AKHIR) PUTRAJAYA



KPDNHEP juga meminta semua syarikat sektor peruncitan termasuk pasar raya, kedai runcit, stesen minyak, restoran, bengkel, kedai perkakasan serta kedai gunting rambut menyertai RiVAC dan mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi untuk pekerja dengan segera.

"Kementerian sedang menimbangkan untuk menjadikan vaksinasi semua pekerja sesebuah syarikat sebagai antara prasyarat untuk kelulusan beroperasi syarikat itu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) terutama bagi aktiviti ekonomi yang melibatkan sentuhan dan interaksi bersemuka secara berdekatan," katanya.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui portal KPDNHEP (https://rov.kpdnhep.gov.my/rov) atau berhubung terus dengan Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian 03- 8882 5881/ 5905 atau e-mel kepada [email protected].

Program (RiVAC) dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi serta pemain industri peruncitan dan pengedaran.

-- BERNAMA