NIBONG TEBAL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menahan 11 pemandu kenderaan "E-hailing" kerana mengenakan tambang yang mahal dan tidak menggunakan aplikasi yang ditetapkan pengendali e-hailing.

Pengarahnya Adenan Md Isa berkata pihaknya menjalankan intipan sejak minggu lepas sebelum menjalankan Ops Khas E-Hailing selama dua hari bermula Isnin di sekitar Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Jawi dan hadapan Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (IPD SPS).

Beliau berkata 14 kenderaan diperiksa oleh JPJ dalam operasi itu, dan 11 pemandu berkenaan yang berumur antara 20 dan 40-an itu didapati menggunakan aplikasi syarikat e-hailing sebagai panduan sahaja untuk ditunjukkan harga kepada penumpang.

"Selepas penumpang bersetuju dengan harga itu, mereka terus membawa penumpang tanpa menekan butang terima (accept). Ini bermakna, semua tambang diterima oleh mereka tanpa dipotong 20 peratus oleh syarikat e-hailing," katanya pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Valdor di sini semalam.

Katanya modus operandi pemandu-pemandu itu ialah dengan menunggu di hadapan PKRC Jawi dan hadapan IPD SPS, dengan menjadikan pesakit yang tidak mempunyai kenderaan sebagai sasaran.

"Sesetengah pemandu e-hailing sengaja menaikkan harga sehingga RM20 walaupun aplikasi menunjukkan harga sepatutnya yang perlu dibayar oleh penumpang adalah lebih rendah," katanya dan menambah 11 lelaki yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 12(5)(d) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

-- BERNAMA