SUSULAN bencana banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain pada Disember 2021 dan Januari 2022 ini memerlukan penambahbaikan untuk memacu pengurusan risiko banjir yang lebih holistik dan bersepadu.

Menurut Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), respons dan bantuan semasa bencana, tumpuan perlu diberikan kepada perancangan pembangunan yang lebih kukuh dan tindak balas kepada iklim.

Terdapat 11 langkah diajukan kumpulan berkenaan yang dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen merentasi fahaman politik, Ahli Akademik dan Badan Bukan Kerajaan.

Berikut saranan penambahbaikan dalam pengurusan risiko banjir negara:

I) Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menjalankan penyiasatan berkenaan tadbir urus, ketersediaan, respon dan komunikasi antara kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan dalam usaha pencarian dan penyelamatan (SAR)

II) Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjalankan penyiasatan secara mendalam di semua kawasan terjejas bagi kenalpasti faktor-faktor setempat yang menyumbang kepada risiko banjir.

III) Mengkaji semula perancangan guna tanah termasuk Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Daerah Tempatan dan proses penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal di Malaysia.

IV) Menyegerakan penghasilan Pelan Adaptasi Kebangsaan (myNAP) yang mempunyai perancangan senario masa hadapan, rangka kerja perancangan berasaskan risiko. Pelan ini untuk membina daya tahan sektor-sektor penting yang terancam oleh cuaca ekstrem dan kesan perubahan iklim.

V) Memperkasakan dan memanfaatkan penggunaan "nature-based solutions" dalam pengurusan risiko bencana dan adaptasi iklim.

VI) Mengkaji semula dan menghentikan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dan mudah terancam (vulnerable) terutamanya kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Bukit Nenas.

VII) Mewujudkan program di serata negara untuk mentransformasikan kawasan-kawasan perbandaran ke arah pengurusan air yang lebih holistik dan bersepadu yang boleh menangani masalah banjir kilat dan masalah perbandaran lain.

VIII) Mewujudkan rangka kerja perundangan yang mewajibkan Penilaian Strategik Alam Sekitar (SEA) untuk semua dasar, pelan dan program untuk menerapkan alam sekitar dan tindakan mitigasi dan adaptasi iklim di semua peringkat proses membuat keputusan.

IX) Melaksanakan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di seluruh negara untuk meningkatkan tahap ketersediaan rakyat menghadapi bencana di masa hadapan.

X) Mewujudkan mekanisme untuk menyegerakan pembangunan bingkas pulih (build back better) di kawasan terjejas oleh bencana dari segi pembaikan infrastruktur, pemulihan sumber pendapatan, insurans dan pampasan.

XI) Menubuhkan Suruhanjaya Perubahan Iklim untuk kawal selia hal ehwal berkenaan perubahan iklim termasuk adaptasi dan pengurusan risiko bencana.