MALAYSIA
11 syarikat pengendali kenderaan barangan, 17 syarikat bas ekspres miliki saman tertunggak tertinggi - Loke
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ringkasan AI
- MOT mendedahkan senarai 28 syarikat pengangkutan dengan saman tertunggak tertinggi, dan memberi mereka tempoh 14 hari untuk melangsaikan saman sebelum tindakan tegas diambil termasuk menyenarai hitam kenderaan.
- Kesalahan tertumpu pada pemanduan laju, tiada lesen, isu teknikal, lebih muatan dan ketiadaan insurans atau LKM, melanggar tiga akta utama berkaitan pengangkutan jalan dan perdagangan.
- Langkah ini bertujuan mengubah budaya keselamatan syarikat pengangkutan, sebagai tindak balas terhadap peningkatan kemalangan dan tragedi seperti insiden UPSI, serta menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keselamatan jalan raya.
"Kegagalan untuk berbuat demikian akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas, termasuk menyenarai hitam kenderaan terlibat serta-merta.
"Tiada diskaun akan diberikan. Semua saman perlu dibayar mengikut kadar sedia ada," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loke berkata saman terbabit melibatkan kesalahan yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Beliau berkata lima kesalahan utama yang dikesan ialah memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu, kesalahan teknikal, lebih muatan serta tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau perlindungan insurans.
Mengulas mengenai rasional pendedahan nama dan tindakan tegas ini, Loke berkata ia merupakan satu bentuk amaran kepada syarikat terlibat agar lebih mengutamakan aspek keselamatan serta menggaji pemandu yang terlatih dan berdisiplin.
"Ini sebagai amaran supaya mereka mengubah budaya pengendalian syarikat, satu budaya yang menitikberatkan keselamatan kenderaan dan memastikan setiap pemandu mematuhi aspek keselamatan jalan raya," katanya.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kategori syarikat tersebut ketika ini.
"Walaupun agak drastik dan tidak pernah dilakukan sebelum ini (iaitu mendedahkan nama syarikat), kerajaan mengambil langkah ini kerana masyarakat mahu melihat perubahan budaya. Kita tidak mahu lagi berlaku tragedi yang meragut banyak nyawa. Biarlah tragedi UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) menjadi pengajaran," katanya.
Loke turut memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan akan melaksanakan pelbagai lagi langkah penguatkuasaan dan pencegahan pada masa hadapan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami