JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memberi bantuan one-off sebanyak RM30,000 epada 116 pusat tahfiz dan 16 sekolah pondok yang berdaftar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bantuan tersebut membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM 3.96 juta.

Menurut beliau, dalam tempoh pandemik COVID-19, MAINJ tidak pernah melupakan peranan dan tanggungjawab yang disumbangkan oleh pusat tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar di negeri ini.

“Bantuan ini bagi membantu dan memastikan semua pusat dan pondok tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) terus  beroperasi bagi membangunkan syiar dan pendidikan Islam.

“MAINJ telah memperuntukan bantuan one-off RM 30 ribu kepada 132 institusi melibatkan 116 madrasah dan 16 pondok tahfiz yang berdaftar dengan (JAINJ).

“Dengan bantuan ini, tidak timbul masalah atau isu pusat tahfiz yang gulung tikar di negeri ini.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurut Tosrin,berdasarkan statistik JAINJ, daerah Muar mempunyai pusat tahfiz yang paling banyak di negeri ini iaitu sebanyak 26 buah institusi diikuti 24 (Batu Pahat), 19 (Johor Bahru), 12 (Kluang) dan 11 (Tangkak serta Segamat).

“Manakala Pontian pula ada 10 pusat tahfiz, lapan di Kota Tinggi, tujuh di Kulai dan empat di Mersing.

“Jika masih ada pusat tahfiz atau pondok tahfiz yang belum berdaftar dengan JAINJ dinasihatkan supaya membuat pendaftaran agar bantuan dapat diberikan,” kata beliau lagi