KUALA LUMPUR: Seramai 12 Ahli Parlimen dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu bagi Penggal Parlimen ke-15.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, mereka yang dilantik terdiri daripada lapan ahli Parlimen kerajaan dan empat pembangkang.

"Ketetapan itu dibuat jawatankuasa dalam mesyuarat pemilih yang bersidang pada Selasa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Johari yang juga Pengerusi Jawankuasa Pemilih itu berkata, mereka yang baru dilantik ialah Syahredzan Johan (PH-Bangi), Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju).

Selain itu turut dilantik, Dr Richard Rapu (GPS-Betong), Azli Yusof (PH-Shah Alam), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Datuk Ali Biju (PN-Saratok) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar).

Pada 4 April lalu, jawatankuasa melantik Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) sebagai Pengerusi jawatankuasa itu dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai Naib Pengerusi.

Sementara itu, Mas Ermieyati Samsudin menyambut baik dan mengalu-alukan pelantikan 12 ahli PAC Parlimen penggal ke-15 yang baru dipilih Jawatankuasa Pemilih pada Selasa.

Beliau berkata, kesemua ahli yang dipilih mempunyai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera serta kelayakan akademik dalam bidang pengurusan, media dan kewangan.

"Malah, seorang daripada ahli PAC iaitu bekas Menteri Pengajian Tinggi Noraini, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas, Tani Sim Tze Tzin dan Ali Biju yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

"Kehadiran Noraini sebagai ahli PAC Parlimen ke-15 adalah suatu sejarah buat PAC sendiri kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi PAC daripada April 2019 hingga Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelantikan itu membuktikan bahawa kedudukan dan kredibiliti PAC sentiasa dipandang tinggi dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen.

Tambah Mas Ermieyati, PAC juga berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang terutama sekali membabitkan dasar kewangan, perolehan serta tadbir urus kerajaan akan menjadi lebih kritikal.

Menurutnya lagi, pengalaman ahli-ahli PAC yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan mampu menjadikan PAC lebih berwibawa serta dihormati dalam memastikan setiap laporan yang dibentangkan mempunyai impak kepada kerajaan.

"Saya percaya semua ahli PAC yang baru dilantik akan memberikan kerjasama kepada saya dan Wong Shu Qi selaku Naib Pengerusi dalam memastikan PAC dapat memainkan peranannya dengan lebih efektif kepada kerajaan," katanya.

PAC ialah Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada Ketua Audit Negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.