Skip to main content

Sukan

Keadaan Litar Sepang beri cabaran kepada pelumba - Zulfahmi

Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli (kiri) yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi bersama pengurus pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin semasa sesi latihan menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.  -- fotoBERNAMA
Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli (kiri) yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi bersama pengurus pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin semasa sesi latihan menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. -- fotoBERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Keadaan permukaan trek di Litar Antarabangsa Sepang yang rosak menjejaskan cengkaman tayar dan prestasi pelumba semasa GP Motosikal Malaysia 2026.
  • Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mencadangkan penurapan semula trek bagi memastikan standard penganjuran perlumbaan antarabangsa dikekalkan.
  • Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, menghadapi cabaran tambahan namun berjaya layak ke pusingan kelayakan dua selepas sesi latihan.
Advertisement

SEPANG: Keadaan permukaan trek di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang kurang memuaskan memberikan cabaran besar kepada pelumba dalam usaha mengekalkan daya saing sepanjang Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026.

Pengurus pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin berkata masalah kekurangan cengkaman tayar akibat kerosakan permukaan trek bukan sahaja dirasai pelumba Moto3 tetapi turut mendapat perhatian pelumba arus perdana MotoGP.

Beliau berkata beberapa bahagian trek didapati sudah rosak dan tidak rata; justeru, kerja penurapan semula perlu dipertimbangkan bagi memastikan SIC terus berada pada standard yang diperlukan untuk penganjuran perlumbaan antarabangsa.

Advertisement

“Keadaan trek sekarang semakin kurang baik dari segi cengkaman. Banyak bahagian permukaan tar sudah rosak dan tertanggal.

“Kami juga boleh lihat catatan masa sepusingan satu saat lebih perlahan berbanding rekod litar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Advertisement

Menurut Zulfahmi, keadaan itu turut menuntut pasukan melakukan pelarasan jentera dengan lebih teliti, terutama bagi memastikan pelumba mampu mengekalkan prestasi sehingga ke penghujung perlumbaan.

Zulfahmi berkata situasi itu turut memberi cabaran kepada anak didiknya, pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang beraksi bersama pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI.

Beliau berkata keupayaan mencari tetapan jentera yang bersesuaian penting bagi membolehkan pelumba terus bersaing dalam kelompok hadapan, khususnya ketika mengharungi lima pusingan terakhir perlumbaan.

Terdahulu, Hakim Danish mengesahkan slot ke pusingan kelayakan dua (Q2) selepas menduduki tempat keempat pada sesi latihan yang berlangsung sebelah petang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement