ARAU: Polis menerima laporan berhubung insiden cermin tingkap sebuah koc Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang pecah ketika dalam perjalanan dari Stesen Arau ke Alor Setar, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata laporan berkaitan insiden itu diterima Balai Polis Arau pada jam 12.30 tengah hari, Jumaat.
“Pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Sebelum ini, insiden berkenaan tular di aplikasi media sosial Threads selepas beberapa penumpang mendakwa terdengar bunyi kuat seperti letupan secara tiba-tiba sebelum mendapati cermin tingkap tren mengalami kerosakan.
Susulan kejadian, KTMB mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kerosakan tingkap di bahagian kiri sebuah koc tren yang sedang dalam perjalanan ke Alor Setar.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, KTMB memaklumkan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut KTMB, kerja-kerja pembaikan terhadap tingkap yang rosak akan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang sentiasa terpelihara.
“KTMB mengingatkan orang ramai bahawa sebarang perbuatan vandalisme terhadap tren dan aset kereta api bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan harta benda, malah berpotensi mengancam keselamatan penumpang.
“KTMB akan terus memantau perkembangan kejadian dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil penelitian lanjut,” menurut kenyataan itu. -Sinar Harian