BUTTERWORTH: Polis Seberang Perai Utara (SPU) menahan 12 individu termasuk empat wanita yang dipercayai terlibat dengan aktiviti judi loteri awam tanpa lesen, perjudian dalam talian dan bookie bola sepak.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, individu berusia 18 hingga 56 tahun itu ditahan dalam Ops Dadu Bersepadu yang dijalankan sejak Jumaat lepas.

Kesemua mereka ditahan ketika sedang leka berjudi di 11 premis di Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor, Sungai Dua dan Kepala Batas.

"Operasi bersepadu dilakukan dengan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan pemotongan bekalan elektrik di semua premis.

"Serbuan dibuat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pemeriksaan itu, Noorzainy berkata pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan haram itu dirampas.

Antaranya ialah lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama yang memaparkan aplikasi kegiatan tambah nilai perjudian dalam talian, buku nota dan alatan menulis serta dua helai kertas tertulis angka dipercayai nombor loteri haram.

Polis juga telah merampas tujuh buah telefon bimbit dengan dua daripadanya memaparkan pertaruhan bookie bola sepak 'Euro 2020', sejumlah wang tunai dan lima buah mesin pencetak.

Noorzainy berkata, kesemua yang ditahan itu di bawa ke IPD SPU untuk disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tegas Noorzainy pihaknya akan terus membanteras aktiviti perjudian khususnya judi loteri awam dan kegiatan perjudian dalam talian secara berterusan.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) ataupun menghubungi pihak polis IPD SPU ditalian 04 – 5762222.