KEMAMAN: Seramai 12 individu termasuk tiga wanita dikompaun dalam operasi Op Samseng Jalanan di Kilometer (KM)103-105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, pada Jumaat kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam operasi pada jam 1.30 pagi itu, kesemua mereka berusia dari 19 hingga 50 tahun dikompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Hanyan berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman memantau lokasi tersebut selepas mendapati banyak kereta berhenti di tepi jalan.

"Pemandu serta penumpang berkumpul di luar kereta tanpa penjarakan fizikal selain tidak memakai pelitup muka.Sejurus menyedari kehadiran anggota, mereka lari lintang pukang masuk ke dalam kereta masing-masing untuk melarikan diri namun 12 daripadanya iaitu sembilan lelaki dan tiga wanita termasuk seorang remaja berusia 19 tahun berjaya ditahan.

"Kesemuanya ditahan bersama lima buah kereta dan dibawa ke IPD Kemaman untuk proses pengeluaran kompaun kerana kegagalan mematuhi SOP mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (kawalan pergerakan) 2021," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Kata Hanyan lagi, kelima-lima kenderaan itu pula disita kerana tiada perlindungan insurans serta mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Berita asal: 12 individu dikompaun berkumpul, tidak pakai pelitup muka