Skip to main content

Sukan

Carrick bakal dipecat, Manchester United mula cari pengganti?

Kedudukan Carrick mula dipersoalkan secara serius selepas kekalahan 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri bulan lalu. - Foto fail/AP
Kedudukan Carrick mula dipersoalkan secara serius selepas kekalahan 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri bulan lalu. - Foto fail/AP

Ringkasan AI

  • Kedudukan Michael Carrick sebagai ketua jurulatih Manchester United dilaporkan semakin terancam susulan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
  • Pihak pengurusan kelab dikatakan telah mula mengenal pasti beberapa calon pengganti, termasuk Mauricio Pochettino, Eddie Howe dan Julian Nagelsmann.
  • United hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan EPL musim ini, menyebabkan kelab kini berada di tangga ke-18 liga.
Advertisement

MASA DEPAN Michael Carrick sebagai ketua jurulatih Manchester United kini semakin samar apabila kelab itu dilaporkan bersedia menamatkan khidmatnya susulan permulaan hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurut laporan The Athletic, United dijangka berpisah dengan bekas pemain tengah England itu sepanjang tempoh rehat antarabangsa, dengan pihak pengurusan sudah mula mengenal pasti beberapa calon berpotensi untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Perkembangan mengejutkan itu hadir hanya sehari selepas United terikat 4-4 dengan Aston Villa di Old Trafford, keputusan yang menyaksikan kelab itu terus bergelut di tangga ke-18 liga, sekali gus menghampiri zon penyingkiran.

Advertisement

Walaupun United menegaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini, beberapa sumber dilaporkan menjangkakan Carrick akan meninggalkan kelab sebelum pertemuan menentang seteru tradisi, Liverpool, di Anfield dalam tempoh 13 hari lagi.

Sebarang keputusan pemecatan perlu mendapat kelulusan pemilik bersama kelab, Sir Jim Ratcliffe serta keluarga Glazer yang masih memegang saham majoriti Manchester United.

Advertisement

Dalam perkembangan sama, beberapa nama mula dikaitkan sebagai calon pengganti, termasuk pengendali pasukan kebangsaan Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino yang dijangka menjadi antara pilihan utama pihak pengurusan.

Bekas pengurus Newcastle United, Eddie Howe dan bekas jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann turut dikatakan mempunyai penyokong dalam kalangan hierarki kelab di Old Trafford.

Situasi itu cukup berbeza berbanding permulaan perjalanan Carrick bersama United apabila beliau dilantik sebagai ketua jurulatih tetap pada Mei lalu menerusi kontrak selama dua tahun selepas mencatat kejayaan ketika menggalas tugas interim.

Pengendali berusia 45 tahun itu mula mengambil alih pasukan pada Januari selepas pemergian Ruben Amorim, ketika United berada di kedudukan ketujuh liga.

Carrick kemudian berjaya mengubah nasib pasukan dengan mengutip 39 mata daripada baki 17 perlawanan liga, sekali gus membimbing United menamatkan musim di tangga ketiga dan memperoleh tiket ke Liga Juara-Juara.

Malah, tiada pasukan EPL lain yang mengutip lebih banyak mata berbanding United selepas pelantikannya. Kebangkitan itu turut menyaksikan mereka menewaskan beberapa pencabar utama termasuk Manchester City, Arsenal, Liverpool dan Chelsea.

Bagaimanapun, momentum positif tersebut gagal diteruskan pada musim ini.

United hanya merekodkan satu kemenangan daripada 10 perlawanan pembukaan EPL, selain sekadar mencatat tiga kemenangan dalam semua pertandingan. Lebih mengecewakan, mereka turut tersingkir daripada saingan Piala Carabao selepas tewas kepada Brighton.

Menurut laporan sama, kedudukan Carrick mula dipersoalkan secara serius selepas kekalahan 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri bulan lalu.

Namun, pihak pengurusan ketika itu memilih untuk memberinya lebih masa bagi memperbaiki prestasi pasukan.

Malangnya, tiga perlawanan terakhir yang hanya menghasilkan satu kemenangan, iaitu ketika menentang Roma dalam saingan Liga Juara-Juara, dipercayai menjadi antara faktor yang mendorong pihak atasan mempertimbangkan perubahan di kerusi kejurulatihan.

Jika laporan itu menjadi kenyataan, Carrick bakal meninggalkan Old Trafford selepas hanya beberapa bulan mengendalikan United secara tetap, sekali gus menyaksikan kelab itu sekali lagi berdepan episod pertukaran pengurus.

 

 

Must Watch Video

Advertisement