KUCHING: Seramai 1,225 anggota Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) telah dilantik untuk tempoh 2024 hingga 2026 bagi memperkukuh usaha melindungi golongan berkenaan di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata pelantikan itu melibatkan 141 PPKK yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak selaras dengan Seksyen 7(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
"PPKK berperanan membantu menyelaras perkhidmatan kepada kanak-kanak dan keluarga serta menghubungkan komuniti dengan agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang selamat, terlindung dan sejahtera," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium PPKK Kebangsaan 2026 di sini Ahad malam.
Nancy berkata pada tahun lepas, seramai 10,904 kanak-kanak telah direkodkan sebagai memerlukan pemeliharaan dan perlindungan manakala bagi tempoh Januari hingga Mac lepas, sebanyak 2,746 kes telah direkodkan.
Beliau berkata statistik itu menunjukkan usaha memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak perlu dilaksanakan secara bersepadu dan berterusan, dengan penglibatan semua pihak termasuk komuniti.
Dalam pada itu, Nancy berkata bagi memastikan PPKK dan Pasukan Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dapat melaksanakan peranan dengan berkesan, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan RM705,000 tahun ini bagi pelaksanaan program dan aktiviti PPKK.
"Kira-kira RM3.5 juta turut diperuntukkan bagi pengurusan dan pengoperasian PAKK di seluruh negara, termasuk RM365,000 kepada 14 PPKK di Sarawak serta RM435,340 bagi pengoperasian 14 PAKK sedia ada dan sebuah PAKK baharu negeri," katanya.
-- BERNAMA