KUALA KANGSAR: Jambatan ikonik bagi penduduk di bandar Diraja Kuala Kangsar iaitu Jambatan Victoria kini ditambah baik dengan ciri-ciri keselamatan, berbanding sebelumnya.

Sebelum ini jambatan yang mencecah usia 123 tahun itu dilimpahi cahaya lampu bagi menerangi kawasan sekitarnya, sekali gus mengurangkan risiko bahaya di situ, khususnya kepada penunggang motosikal.

Kali ini Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mengambil inisiatif terbaharu dengan memasang pagar atau jaring keselamatan bagi memberi penambahbaikan di lokasi bersejarah dan tumpuan pelancong itu.

MPKK dalam kenyataan baru-baru ini memberitahu, usaha itu antara lain bersesuaian dengan imej Kuala Kangsar yang sering menerima pelancong dari dalam dan luar negara.

"Pagar keselamatan telah siap dipasang di Jambatan Victoria, Karai untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung yang melawat salah satu lokasi pelancongan di daerah ini.

"Lokasi ini semakin dikenali dan menjadi tumpuan pelawat untuk merakamkan gambar kenangan," katanya baru-baru ini.

Antara ciri-ciri keselamatan di Jambatan Victoria yang ditambah baik bagi mengurangkan risiko bahaya khusunya kepada penunggang motosikal. - Astro AWANI

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Nor Hisham Zulkiflee berkata, pihaknya menyambut baik penambahbaikan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelasnya, PBT turut memainkan peranan penting dalam memastikan khazanah sejarah dan warisan di lokasi tertentu dijaga sebaik mungkin, dan tidak dimamah zaman.

"Baru-baru ini saya ada meninjau kawasan tersebut, difahamkan sudah ada jaring keselamatan di sepanjang laluan motosikal di jambatan berkenaan.

"Cuma di bahagian tengah di lokasi orang ramai bergambar itu, kerja-kerja pemasangan pagar jaring masih berjalan.

"Bagi saya ini satu perkara yang baik, demi pelancongan dan memulihara warisan negara, diharapkan lebih banyak lokasi bersejarah di Perak ini mendapat penjagaan sewajarnya," katanya ketika dihubungi.

Jambatan Victoria dibina pada tahun 1897 bagi menghubungkan laluan antara Ipoh dan Taiping menerusi Kuala Kangsar. - Astro AWANI

Mengimbas kembali sejarah antara jambatan kereta api tertua di negara itu, ia dibina pada tahun 1897 bagi menghubungkan laluan antara Ipoh dan Taiping menerusi Kuala Kangsar selain berperanan bagi laluan utara ke selatan Semenanjung Tanah Melayu.

Mengambil nama bersempena nama Queen Victoria, ia mula dibuka secara rasmi pada tahun 1900 memandangkan terdapat beberapa masalah yang dihadapi akibat daripada banjir besar ketika itu.