Skip to main content

Malaysia

126 bantah, 7 sokong Syor Persempadanan Semula Sarawak - SPR

SPR mempunyai masa selama dua tahun untuk menyiapkan keseluruhan kajian persempadanan semula bagi negeri Sarawak kali ketujuh ini.
SPR mempunyai masa selama dua tahun untuk menyiapkan keseluruhan kajian persempadanan semula bagi negeri Sarawak kali ketujuh ini.

Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan sebanyak 126 representasi membantah telah diterima berhubung Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) bagi bahagian-bahagian pilihan raya di Sarawak.

Jumlah itu jauh mengatasi representasi sokongan yang hanya mencatatkan tujuh maklum balas, daripada keseluruhan 133 representasi yang diterima SPR sepanjang tempoh pameran syor berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pameran syor persempadanan semula bagi bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak telah berlangsung selama sebulan, bermula 1 hingga 30 September 2026.

Menurut beliau, SPR akan mengambil langkah proaktif dengan menilai setiap maklum balas diterima daripada pihak berkepentingan sebelum beralih ke peringkat seterusnya.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas SPR bagi meneliti dan membincangkan kesemua representasi yang telah diterima, khususnya representasi yang memenuhi syarat untuk dipertimbangkan bagi tujuan Siasatan Tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Tambah Khairul Shahril, ketetapan berhubung proses Siasatan Tempatan akan dibuat sejurus selepas mesyuarat khas berkenaan selesai.

“Notis untuk menghadiri prosiding siasatan tempatan akan dihantar kepada semua pihak yang layak selewat-lewatnya dua minggu sebelum prosiding dijalankan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai tempoh masa kajian, SPR mempunyai masa selama dua tahun untuk menyiapkan keseluruhan kajian persempadanan semula bagi negeri Sarawak kali ketujuh ini.

Garis masa tersebut bermula dari tarikh tersiarnya notis pada 1 September 2026 sehingga laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri, selaras dengan peruntukan dalam Fasal 10, Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Kajian semula persempadanan ini merupakan proses berkala yang dijalankan untuk memastikan pembahagian kawasan pilihan raya sentiasa seimbang dan saksama mengikut pertumbuhan populasi dan geografi semasa.

Must Watch Video

Advertisement