KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf dan membaik pulih bangunan Parlimen Malaysia Fasa 2C (II) yang bernilai RM115 juta berjaya disiapkan 17 hari lebih awal daripada jadual sebelum diserahkan kepada Parlimen Malaysia hari ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang siap pada 30 Okt berkenaan melibatkan dua skop utama, iaitu kerja naik taraf dan baik pulih Blok Menara, Blok Dewan Persidangan Sementara serta Galeri Parlimen di Blok Utama.
Beliau berkata skop kedua melibatkan pembinaan kemudahan baharu, termasuk blok parkir tiga tingkat serta kawasan letak kenderaan terbuka dan berbumbung yang menyediakan 332 petak kereta, 239 petak motosikal dan tiga petak bas.
Menurut Nanta, skop pembinaan turut merangkumi Pondok Pengawal 2, Pintu Pagar 2, laluan pejalan kaki berbumbung serta pintu pagar utama hasil kerjasama kementerian, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perdana Menteri, Parlimen Malaysia, Jabatan Warisan Negara dan pihak industri.
“Dengan siapnya Fasa 2C (II), kemudahan dinaik taraf dapat menyokong urusan persidangan dan tugas harian warga Parlimen.
“Kemudahan parkir dan laluan pejalan kaki berbumbung pula memudahkan pergerakan warga Parlimen dan pelawat di dalam kompleks ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan projek berkenaan di Dewan Serbaguna, Bangunan Parlimen hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Nanta berkata projek yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) itu melibatkan tujuh fasa utama, iaitu Fasa 1A, 2A, 2B, 3A, 3B, 2C (I) dan 2C (II), dengan kos siling asal RM520 juta.
Kesemua fasa berkenaan dilaksanakan secara konvensional dengan penglibatan Bahagian Pengurusan Projek 4, Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) selaku pengurus program dan pasukan Pereka Bentuk (HODT) manakala Blackfox Engineering Sdn Bhd selaku kontraktor utama.
Beliau berkata selaras dengan status Bangunan Parlimen sebagai warisan kebangsaan, kerja naik taraf dan baik pulih dilaksanakan berpandukan keperluan pemuliharaan bangunan warisan dengan memberi perhatian kepada pemeliharaan bahan binaan serta unsur seni bina asal.
“Selepas penyerahan ini, saya meminta pihak kontraktor terus memenuhi tanggungjawabnya sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan sebagaimana yang ditetapkan dalam kontrak.
“Setiap aduan berkaitan kecacatan perlu disemak dengan segera dan kecacatan yang dikenal pasti hendaklah dibaiki mengikut ketetapan kontrak,” katanya.
Sementara itu, Johari Abdul berkata beberapa penambahbaikan kemudahan Parlimen sedang dibincangkan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya susulan pemberian autonomi kepada institusi itu mulai 1 Okt.
Beliau berkata Kementerian Ekonomi pada dasarnya bersetuju dengan cadangan penambahan kemudahan itu dan perbincangan lanjut sedang dijalankan bagi memuktamadkan perkara berkenaan menerusi penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang dijangka bermesyuarat pada awal tahun depan.
“Jadi, perbincangan sedang berlaku juga dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian JKR, dan kami harapkan dapat muktamadkan isu ini apabila kami masuk ke dalam penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen.
“Banyak penambahbaikan sedang dilakukan tetapi kami harap dengan status berautonomi ini, kami akan benar-benar pastikan tanggungjawab yang diberikan itu dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bangunan bagi persidangan Parlimen Belia yang akan mula berfungsi pada 1 Jan 2027 telah siap dibina, dengan institusi itu melibatkan penyertaan 222 ahli.
-- BERNAMA