Skip to main content

Malaysia

Pindaan Akta 173 dan Akta 174 iktiraf kematangan intelektual mahasiswa - TNC HEP UiTM

Mohd Sazili berkata langkah kerajaan itu, yang digerakkan seiring pembaharuan AUKU 1971, bukan sekadar perubahan teknikal perundangan semata-mata.  - Gambar fail
Mohd Sazili berkata langkah kerajaan itu, yang digerakkan seiring pembaharuan AUKU 1971, bukan sekadar perubahan teknikal perundangan semata-mata.  - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Komitmen kerajaan menyegerakan pindaan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) merupakan satu pengiktirafan besar kepimpinan negara terhadap kematangan intelektual mahasiswa.  

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata langkah kerajaan itu, yang digerakkan seiring pembaharuan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, bukan sekadar perubahan teknikal perundangan semata-mata.  

"Sebaliknya, ia adalah pengiktirafan besar kepimpinan negara terhadap kematangan intelektual mahasiswa, khususnya anak-anak bumiputera, untuk berfikir secara kritis, menyuarakan pandangan serta memikul tanggungjawab kenegaraan tanpa dikongkong oleh pendekatan lama," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Advertisement

Mohd Sazili berkata pengurusan tertinggi universiti khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM menyokong penuh hasrat murni itu kerana aspirasi kerajaan berkenaan amat selari dengan hala tuju yang telah lama digerakkan secara proaktif menerusi Agenda Transformasi Anak Mahasiswa UiTM (TAMU).  

Katanya, menerusi Agenda TAMU, pihak universiti telah membebaskan proses pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPJPP) tanpa campur tangan JHEP.

Advertisement

Beliau berkata pihak UiTM juga telah menubuhkan Parlimen Mahasiswa di peringkat universiti dan seluruh kampus cawangannya sebagai medan rasmi wakil pelajar membahaskan isu-isu mahasiswa serta melantik wakil pelajar menganggotai Senat UiTM serta jawatankuasa pengurusan tertinggi.  

Selain itu, Mohd Sazili berkata mahasiswa turut diberikan kuasa meluluskan bajet program sendiri berdasarkan had siling dipersetujui bersama JHEP, diperkasakan menerusi Projek Koridor Keusahawanan Mahasiswa UiTM serta menurunkan autonomi pengurusan kebajikan kepada kepimpinan akar umbi di peringkat kolej kediaman dan fakulti.  

"Kepimpinan tidak pernah lahir daripada generasi yang terus dikongkong dalam sangkar ketakutan, sebaliknya ditempa melalui kepercayaan dan ruang untuk berfikir.  

"Apabila ketajaman akal dipadukan dengan kebebasan yang berakauntabiliti dan keberanian bersuara dipagari ketinggian adab, maka lahirlah graduan bumiputera yang bukan sahaja cemerlang akademiknya serta ampuh jati diri, malah bersedia menggalas amanah kepimpinan di persada global," katanya.  

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi program khas Dialog Negara bertemakan "Di Sebalik Keputusan" mengumumkan komitmen kerajaan untuk menyegerakan pindaan Akta 173 dan Akta 174, yang turut selari dengan kerangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement