ALOR SETAR: Seramai 13 individu dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas didapati menunaikan solat Jumaat dengan melebihi jumlah yang ditetapkan di sebuah masjid di Kuala Kedah, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, pasukan pemantau COVID yang disertai tiga pasukan serta pasukan dari Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Negeri Kedah (BKK) Kementerian Dalam Negeri menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 1.40 petang tadi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 34 individu berada dalam masjid berkenaan dan melebihi jumlah yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu hanya 13 individu saja dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi ketika kesemua individu berkenaan sedang mendengar khutbah Jumaat dan membenarkan mereka selesai melaksanakan solat terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

"Jadi, apabila skuad pemantau sampai di masjid itu setelah selesai solat jumaat kita dapati 34 orang jemaah berada di dalam masjid dan hasil daripada pemeriksaan 13 kompaun telah dikeluarkan terhadap 13 individu.

"Satu kita keluarkan terhadap masjid kerana tidak melaksanakan SOP yang ditetapkan kerana membenarkan jemaah lebih daripada 13 orang seperti mana yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah," katanya.

Ahmad Shukri berkata, kompaun sebanyak RM1,500 dikeluarkan setiap seorang terhadap 13 individu berusia antara 18 hingga 82 tahun.

Bagaimanapun, katanya kompaun tidak dikenakan terhadap baki jemaah lain atas alasan mereka terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, kanak-kanak dan warga emas yang nyanyuk.

Selain itu, pihaknya turut mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pengurusan masjid berkenaan kerana gagal melaksanakan SOP dengan membenarkan lebih individu berada di masjid tersebut.

Kebanyakan mereka adalah penduduk yang tinggal di sekitar masjid berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat dari pihak masjid, ini kali pertama masjid itu dikunjungi lebihan jemaah di mana minggu lalu, hanya 13 orang saja yang hadir menunaikan solat Jumaat.

Kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 11(3) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPP).