MALAYSIA
135,000 penagih dadah setakat Jun 2025 - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution berkata jumlah itu sesuatu yang membimbangkan dan kerajaan dengan kerjasama pelbagai pihak sentiasa mengambil langkah serta strategi dalam mengurangkan jumlah penagihan dadah di negara ini secara signifikan. -Gambar fail/Bernama
JERTIH: Sebanyak 135,000 penagih dadah direkodkan di negara ini hingga 30 Jun lepas.
Ringkasan AI
- Sebanyak 135,000 penagih dadah direkodkan di Malaysia hingga 30 Jun 2025, dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah.
- Penagihan dadah banyak melibatkan golongan muda berumur 15-35 tahun, kebanyakannya berpendidikan SPM ke bawah dan tidak bekerja, menjejaskan potensi tenaga kerja negara.
- Kerajaan memperuntukkan RM400 juta setahun kepada AADK untuk pengurusan 30 pusat pemulihan dan 53,000 klien, serta menyeru kerjasama menyeluruh dalam usaha pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan.
"Strategi kita ialah mengurangkan angka ini secara signifikan melalui program pencegahan, pemulihan, dan penguatkuasaan," kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Keluang, di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata menurut rekod daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, AADK dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Kelantan merekodkan jumlah penyalahgunaan dadah yang tertinggi diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah.
Beliau berkata lokasi yang bersempadan dengan negara jiran Thailand dikenal pasti sebagai faktor utama keempat-empat negeri berkenaan mempunyai bilangan penagih dadah paling banyak.
"Di negeri-negeri yang saya sebutkan tadi, lebih kurang 60 peratus pengambilan dadah melibatkan pil kuda dan syabu.
"Dari sudut profil penagih, mereka terjebak dalam lingkungan umur 15 hingga 35 tahun, iaitu umur yang produktif.
"Jika tidak terjebak, mereka boleh menyumbang kepada (lebih kurang) 17 juta tenaga kerja produktif negara. Namun, kerana terlibat dengan aktiviti tidak sihat, potensi ini tidak dapat dimanfaatkan.
"Kedua, dari segi tahap pendidikan, kebanyakannya berkelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan ke bawah. Dari segi pekerjaan pula, sebahagian besar tidak bekerja," katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan melalui KDN akan terus memastikan AADK menjalankan tugas hakiki menangani masalah dadah dengan peruntukan kira-kira RM400 juta setahun yang antara lain termasuk mengurus serta menyelenggara kira-kira 30 pusat pemulihan di seluruh negara.
Selain itu, AADK juga bertanggungjawab mengurus hampir 53,000 klien termasuk yang berada dalam pusat pemulihan, komuniti dan institusi lain.
"Terdapat juga antara 11,000 hingga 12,000 klien berada di bawah KKM, dan kira-kira 2,000 klien di bawah Puspen swasta.
"Gabungan usaha ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan impak penagihan dadah di Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami