JOHOR BAHRU: Seramai 14 lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam dua insiden pergaduhan ketika mabuk ditahan di Seri Alam dan Kulai, pada Ahad.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan mendapati lima individu yang ditahan merupakan anggota kumpulan kongsi gelap 36, kumpulan 21 (empat) manakala kumpulan 04 (lima).

"Semua mereka yang berumur 21 hingga 40 tahun diberkas menerusi maklumat awam serta risikan dan mereka kini direman sehingga 17 November. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Punca pergaduhan dipercayai akibat salah faham dan pertengkaran mulut semasa mereka semua mabuk," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu Ayob Khan berkata pihaknya turut menahan 16 lelaki berumur antara 17 dan 50 tahun disyaki anggota kumpulan kongsi gelap, menerusi Ops Cahaya yang dilancarkan di seluruh negeri pada 28 Oktober sehingga 10 November lepas.

"Kita memeriksa 30 individu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap berdasarkan 66 kes kekerasan yang kita terima, dan hasil siasatan mendapti 16 daripadanya adalah anggota kumpulan kongsi gelap, yang kita dapat kesan menerusi tatu dan lambang pada tubuh badan mereka," katanya.

Beliau berkata sejak awal Januari lepas sehingga hari ini, pihaknya telah menahan seramai 70 individu daripada tujuh kumpulan kongsi gelap mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Katanya daripada 70 individu terbabit, 29 adalah Geng 21, Geng 36 (16), Geng 04 (sembilan), Geng 08 (lapan), Geng Hong Kong San (dua), Geng NGO Sek Kee (lia) dan Geng Kong Kia (seorang).

"Daripada kesemua yang ditahan ini, 20 individu diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.