KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti di melibatkan Sabah, Kelantan, Pahang dan Sarawak.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua PKPD itu akan bermula pada 14 Ogos 2021 hingga 27 Ogos depan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di lokaliti tersebut.

"Di Keningau Sabah, PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti iaitu di Kilang & Kuarters Pekerja Bumi Timber Sdn Bhd, Batu 27 dan Perusahaan & Kuarters Pekerja Kosinar Sdn Bhd, Batu 28, Jalan Sook.

"Di Kota Kinabalu pula, PKPD dilaksanakan di Taman Puri Warisan. Manakala dua yang lain melibatkan Kampung Pengiran di Sipitang dan Kampung Wokok Kinuta di Kota Belud," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain di Sabah, PKPD turut dilaksanakan di lima kampung di Pasir Mas dan satu di Tumpat, Kelantan.

"Empat kampung di Mukim Alor Pasir yang dikenakan PKPD adalah Kampung Chenerai, Kampung Lubok Kawah, Kampung Pohon Tanjong dan Kampung Pak Jak.

"Manakala satu kampung di Mukim Kubang Gadong iaitu Kampung Landar.

"Kampung Kubang Sawa yang terletak di Tumpat juga dikenakan PKPD," kata beliau lagi.

Antara lain, PKPD juga dilaksanakan di Pahang iaitu Kampung Bongkok, Bera; dan Kampung Gadak di Rompin.

"Di Sarawak pula, PKPD dilaksanakan di Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd di Mukah," jelasnya.

Dalam pada itu kata Hishammuddin, PKPD yang dijadualkan tamat pada 13 Ogos 2021 dilanjutkan bermula 14 Ogos sehingga 27 Ogos 2021 di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling, Kedah; Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands, Bentong, Pahang; Kampung Wek Batu 23, Labok, Machang, Kelantan; dan Kampung Gambaron 2, Telupid, Sabah.

Sementara PKPD diumumkan tamat di 15 lokaliti. Ia termasuk Kampung Padang Kubu, Mukim Tebak, Kemaman, Terengganu; Kampung Seratau, Kuching, Sarawak; FELDA Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai, Lipis, Pahang; dan Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.

Turut tamat pelaksanaan PKPD ialah tujuh lokaliti di Sabah.

"Dua lokaliti di Ranau iaitu Kampung Lembah Permai dan Kampung Pugi Gunsapou.

"Di Keningau, Kampung Bayangan dan Kampung Purakagis. Antara lain, Kampung Marintaman di Sipitang; Kampung Tembidong-Bidong, Telupid dan Kampung Airport Lama yang terletak di Tawau," tambahnya.

Selain di Terengganu, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Sabah, PKPD yang ditamatkan turut melibatkan empat lokaliti di Perak.

Keempat-empat lokaliti tersebut adalah Kampung Biak Hilir, Mukim Bandar; Kampung Biak Darat, Kampung Biak Barok dan sebahagian Kampung Pasir Salak di Mukim Pasir Salak.