Hari ke-59 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan 140 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar PKPP termasuk penjarakan fizikal.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu 32 ditahan reman manakala 108 individu lagi dikenakan kompaun.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa 62,530 pemeriksaan di seluruh negara bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sebanyak 4,280 pasar raya, restoran (6,008 premis), penjaja (1,819 gerai), kilang (1,331) bank (3,871) dan 854 pejabat kerajaan diperiksa pasukan khas itu.

"Selain itu turut diperiksa 1,316 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (270) serta 91 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, PDRM membuat 63 sekatan jalan raya dan memeriksa 20,178 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Ujarnya, pasukan keselamatan juga menahan dua warganegara asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," jelasnya.

Mengenai tapak binaan, beliau memaklumkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 21 tapak binaan di seluruh negara dan mendapati kesemua tapak binaan itu mematuhi SOP.