KUALA LUMPUR: Seramai 145,580 guru seluruh negara telah menerima vaksin dos pertama.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, jumlah itu dijangka meningkat terutama apabila melibatkan guru-guru yang mengendali peperiksaan.

"Kebanyakan golongan berisiko secara umumnya (yang sudah divaksinasi). DI peringkat awal kita hantar senarai lebih 55 orang guru yang (ada penyakit) berisiko, dan kebanyakan daripadanya sudah divaksinasi.

"Selepas itu juga kita jelaskan guru diberikan keutamaan, dan alhamdulilah lebih 36 peratus daripada jumlah keseluruhan guru telah divaksinasi. Proses ini berterusan. Kita amat berharap guru-guru yang masih belum mendaftar agar terus mendaftar," katanya dalam sidang media Pelan Pemulihan Negara Sektor Pendidikan pada Selasa.

Dalam pada itu, Radzi turut menyeru kepada guru yang telah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mendapatkan vaksin mereka berdasarkan janji temu yang ditetapkan.

"Apabila (guru) dipanggil, jangan tidak pergi. Bila dipanggil, mesti pergi supaya (memudahkan urusan). Maka, apabila keputusan membuka sekolah (dibuat), sebahagian besar guru (sudah) divaksinasi.

"Bila guru dapat (tarikh) janji temu, pastikan hadir untuk proses vaksinasi tersebut," katanya lagi.

Mengulas mengenai vaksinasi ke atas murid pula, jelas Radzi, beliau akan berbincang dengan Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, sama ada perlu melaksanakan kaedah tertentu termasuk pemberian vaksin di sekolah.

"Urusan vaksinasi dibawah CITF iaitu Khairy Jamaluddin menjadi Menteri Penyelaras PICK. Kita akan berbincang tentang kaedah yang boleh dilaksanakan di sekolah dan ia perlu penelitian lebih mendalam.

"Kami di kementerian melihat isu bekalan (vaksin). Memang kalau boleh semua nak divaksinasi segera tapi bekalan yang kita dapat belum ikut jadual yang ditetapkan oleh pembekal. Maka kita di kementerian memohon dalam konteks - murid perlu didahulukan adalah murid kelas peperiksaan," kata Menteri Kanan Pendidikan itu lagi.