SEBANYAK 15,000 ekor anak ayam rentung selepas sebuah reban di ladang ayam dalam Kampung Banggol Sidam, Sungai Petani terbakar pada Sabtu.

Semua anak ayam yang baru dimasukkan ke dalam reban tersebut pada pagi Sabtu tidak sempat diselamatkan pemilik kerana api merebak dengan terlalu pantas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggota dari BBP Tikam Batu tiba di lokasi pada jam 6.14 petang sejurus menerima panggilan berhubung kes itu.

Semua anak ayam yang baru dimasukkan ke dalam reban tersebut pada pagi Sabtu tidak sempat diselamatkan pemilik kerana api merebak dengan terlalu pantas.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota mendapati kebakaran membabitkan satu deretan reban ayam sedang marak terbakar. Kemusnahan dianggarkan 100 peratus.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 15,000 ekor anak ayam yang baru dimasukkan pagi tadi ke dalam reban berkenaan. Api berjaya dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian.

“Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.