Seramai 15,980 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga Ahad, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kesemua mereka ditempatkan di 72 stesen kuarantin membabitkan 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 7,466 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 55 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 8,459 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan lain, katanya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Ahad membuat pemeriksaan di enam tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 16 anggota penguat kuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati keenam-enam tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan," katanya.