Seramai 15,793 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, peningkatan 0.13% berbanding 15,079 calon pada 2011.

Daripada jumlah itu 113 calon berjaya mendapat 12A; 2,104 calon mendapat 11A; 5,598 calon mendapat 10A; 5,841 calon mendapat 9A dan baki 65 calon lagi mendapat 8A serta 7A.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini berkata, seramai 481 calon SPM 2012 berjaya memperoleh gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran.

"Dalam SPM 2012, prestasi bagi 2 daripada 7 mata pelajaran teras iaitu Matematik dan Pendidikan Moral meningkat. Prestasi mata pelajaran Matematik meningkat sebanyak 0.3 mata, manakala prestasi Pendidikan Moral meningkat 0.21 mata".

Manakala prestasi mata pelajaran teras lain iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Bahasa Inggeris pula menunjukkan penurunan.

Abdul Ghafar menjelaskan, kemerosotan prestasi mata pelajaran berkenaan mengakibatkan penurunan indeks Gred Purata Nasional (GPN).

"Indeks GPN pada 2012 mencatatkan 5.08 mata berbanding 5.04 mata pada 2011, bermakna pencapaian keseluruhan calon SPM 2012 menurun sebanyak 0.04 mata. Penurunan ini disebabkan bilangan mata pelajaran yang prestasinya menurun melebihi bilangan mata pelajaran yang prestasinya meningkat."

Tegas beliau, walaupun kadar penurunan indeks GPN itu berada dalam julat yang boleh diterima, kementerian akan mengarahkan Lembaga Peperiksaan meneliti perkara berkenaan untuk tujuan penambahbaikan.

"Saya percaya, guru-guru telah berusaha keras dan akan terus meningkatkan usaha bagi mempastikan murid-murid mencapai kecemerlangan. Bagi murid-murid yang kurang berjaya, anggaplah ia sebagai satu cabaran untuk mencipta kejayaan yang lain pada masa akan datang."