Polis menahan pemimpin kumpulan Baju Kuning Hishammuddin Rais di Bangsar Utama pagi ini, menjadikan jumlah mereka yang ditahan berhubung perhimpunan haram di ibu negara seramai 15 orang setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata penahanan Hishammuddin itu bagi membantu siasatan berkaitan rusuhan mengikut Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis sedang mengesan beberapa pemimpin Bersih (kumpulan Baju Kuning) dan Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (kumpulan Baju Merah) berhubung perhimpunan haram itu.

Polis telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga ketenteraman awam dengan menahan 14 pemimpin Baju Kuning dan merah termasuk Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan Pengerusi kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos, masing-masing semalam dan awal pagi ini, sebelum pun perhimpunan haram itu bermula.

IKUTI LAPOR LANGSUNG BERSIH 5 DI SINI


Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh penahanan kebanyakan daripada 14 orang itu bertujuan mencegah berlakunya rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam pada perhimpunan haram itu.

BACA: BERSIH 5: JAMAL YUNOS DAN DUA PENGIKUTNYA DIREMAN EMPAT HARI


Setakat pukul 3.30 petang ini, polis berjaya menghalang daripada berlakunya sebarang pertembungan antara penyokong kumpulan Baju Kuning dan kumpulan Baju Merah apabila tidak membenarkan mereka menghampiri kawasan Dataran Merdeka dengan menutup laluan-laluan utama ke kawasan itu.

Para pemimpin Baju Kuning dan Baju Merah, secara berasingan, kelihatan cuba berunding dengan polis supaya laluan di Jalan Travers dan Jalan Parlimen dibuka, namun polis kelihatan tidak tunduk dengan permintaan mereka.

Susulan itu, sebahagian besar penyokong kedua-dua kumpulan itu kemudiannya kelihatan mencari jalan alternatif.

Setakat ini, tiada kumpulan yang dapat memasuki Dataran Merdeka. Polis juga cepat bertindak dalam mengawal keadaan dengan meleraikan pergaduhan kecil antara segelintir kecil penyokong kedua-dua kumpulan itu, sebelum keadaan lebih buruk berlaku.

Bersih 5
Contohnya, pada asalnya terdapat sedikit kekecohan di Padang Merbok yang 'dikuasai' kumpulan Baju Merah apabila ada penyokongnya bertindak mengejar dua penyokong Baju Kuning di kawasan itu.

Tindakan pantas polis dapat mengawal keadaan dengan membawa kedua-dua penyokong Baju Kuning keluar dari kawasan itu dengan selamat.

Terdahulu, kira-kira pukul 11.30 pagi, polis turut mengarahkan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menghentikan operasi masing-masing berikutan peserta perhimpunan mulai memenuhi sekitar kawasan berkenaan.

"Setiap tahun kami terpaksa menutup kedai apabila terdapat perhimpunan ini. Kami tidak boleh lari ke mana-mana dan hanya boleh menyorok di dalam kedai sekiranya berlaku apa-apa serangan kerana kebanyakan jalan telah ditutup," kata peniaga kedai cenderamata yang mahu dikenali sebagai Wong, 50-an.

Seorang pemilik stesen minyak di Jalan Bangsar yang enggan dikenali mengakui mengalami kerugian kerana tiada orang mahu mengisi minyak akibat stesen itu dijadikan tempat berkumpul penyokong perhimpunan haram.

Sementara itu, seorang pelancong dari United Kingdom yang hanya ingin dikenali sebagai Mike, 32, berkata dia bimbang sekiranya demonstrasi yang diadakan itu akan bertukar menjadi huru-hara.

"Saya harap tidak berlaku apa-apa perkara buruk," katanya.

Baju Kuning sememangnya mahu mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka walaupun tidak mendapat kebenaran manakala Baju Merah pula turut mahu mengadakan perhimpunan di tempat yang sama bagi menghalang perhimpunan Baju Kuning, menimbulkan kekhuatiran berlakunya pertembungan antara kedua-dua kumpulan tersebut di dataran itu.

Baju Kuning dikatakan mengadakan perhimpunan itu bagi menjatuhkan kerajaan pusat sedia ada manakala Baju Merah dikatakan mempertahankan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Keadaan keselamatan pada keseluruhannya terkawal.