Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Matlamat perang dengan Iran sudah capai ‘lebih separuh jalan’ - Netanyahu

Sumber: The Times of Israel
Netanyahu berkata, perang itu telah mencapai sasaran termasuk membunuh “ribuan” anggota Pengawal Revolusi Iran. - Gambar fail

WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Isnin berkata, perang terhadap Iran telah mencapai lebih daripada separuh objektifnya, namun enggan menetapkan garis masa bilakah konflik itu akan berakhir.

“Sudah tentu ia berada melebihi titik separuh. Tetapi saya tidak mahu meletakkan jadual waktunya,” kata Netanyahu kepada penyiar konservatif Amerika Syarikat, Newsmax.

Advertisement

Beliau menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada misi peperangan yang telah diselesaikan, “bukan semestinya dari segi tempoh masa.”

Presiden AS, Donald Trump yang melancarkan perang bersama Netanyahu pada 28 Februari lalu sebelum ini berkata, operasi itu dijangka berlangsung antara empat hingga enam minggu.

Setiausaha Negara, Marco Rubio, pada Isnin pula menyatakan bahawa perang berkenaan dijangka berlarutan “beberapa minggu” lagi dan bukannya berbulan, ketika penentangan rakyat AS semakin meluas terhadap konflik yang menyebabkan harga minyak melonjak.

Netanyahu berkata, perang itu telah mencapai sasaran termasuk membunuh “ribuan” anggota Pengawal Revolusi Iran.

Israel dan Amerika Syarikat juga “hampir menghentikan industri persenjataan Iran,” tambahnya.

“Hampir keseluruhan asas industri - memusnahkan semua, anda tahu… kilang-kilang, keseluruhan loji, dan program nuklear itu sendiri,” katanya.

Netanyahu dan Trump berulang kali mendakwa Iran hampir membina senjata nuklear - dakwaan yang tidak disokong oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertentangan dengan kenyataan Trump sendiri yang mendakwa beliau telah “menghapuskan” tapak-tapak penting dalam serangan tahun lalu.

Netanyahu turut menyatakan keyakinan bahawa Republik Islam Iran akan tumbang dari dalam, walaupun menegaskan bahawa itu bukan objektif utama perang.

“Saya fikir rejim ini akan runtuh secara dalaman. Tetapi buat masa ini, apa yang kami lakukan ialah melemahkan keupayaan ketenteraan mereka, keupayaan peluru berpandu mereka, keupayaan nuklear mereka, dan juga melemahkan mereka dari dalam,” kata Netanyahu.

Perang itu berlaku beberapa minggu selepas pihak berkuasa Iran menindas demonstrasi besar anti-kerajaan, yang mengorbankan ribuan orang.

Trump dalam beberapa hari kebelakangan ini berkata, perang tersebut secara efektif telah mencapai “pertukaran rejim” dengan memperkasakan tokoh-tokoh lain dalam kerajaan Iran yang menurutnya mungkin lebih bersifat terbuka. - Agensi
 

Must Watch Video