KUALA LUMPUR: Masih ramai yang tidak tahu bahawa kawasan pejalan kaki berbumbung di ibu negara adalah kawasan larangan merokok, meskipun ia diwartakan sejak lima tahun lepas.

Lebih mengecewakan, ada antara individu yang merokok dilihat tanpa segan mengabaikan notis larangan itu walaupun ia dilekatkan di sekitar kawasan pejalan kaki berbumbung, malah ada yang membuang puntung rokok di merata-rata kawasan.

Padahnya, seramai 15 individu menerima notis kesalahan di bawah Peraturan 22 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dalam operasi penguatkuasaan larangan merokok di kawasan pejalan kaki sekitar Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Nor Halizam Ismail berkata operasi penguatkuasaan hampir dua jam itu tertumpu di kawasan pejalan kaki berbumbung, antaranya di Jalan Putra, Jalan Pahang, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Merpati.

Menurutnya, seramai 50 anggota daripada DBKL, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR) menyertai operasi itu.

"Antara alasan yang sering diberikan perokok ialah mereka tidak tahu kawasan pejalan kaki berbumbung di Kuala Lumpur telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak 2017.

"Sebenarnya, hanya (di) Kuala Lumpur diwartakan kawasan ini kerana ia di bawah Peraturan 22 iaitu Menteri Kesihatan berhak memilih mana-mana premis atau bangunan untuk diwartakan di bawah peraturan itu," katanya pada sidang media selepas operasi itu, hari ini.

Dalam operasi sama Dr Nor Halizam berkata sebanyak 250 risalah pendidikan kesedaran agar tidak merokok diberikan kepada orang ramai.

Katanya, aktiviti kesedaran dan penguatkuasaan akan terus diadakan dari semasa ke semasa dan beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi peraturan larangan merokok di kawasan yang telah diwartakan.

Sebarang aduan berkaitan boleh disalur menerusi aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949.

-- BERNAMA